Friday 29 June 2012

Syarahan Perlembagaan Untuk Pelajar-pelajar Asasi undang-Undang 2012


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Perhatian kepada semua pelajar asasi undang2 (PI005 & PI007) anda diwajibkan hadir ke:
Program: Syarahan Perlembagaan "an overview of Malaysian Government and Politics"
Penceramah: Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi
Tarikh: 1 July 2012 (Ahad)
Masa: 9.30 pagi - 12.30 tengah hari
Pendaftaran: 8.00 pagi
Tempat: Auditorium Cempaka dan Bilik seminar.
Pakaian: Siswi- Baju Kurung


Sebarang masalah sila rujuk kepada Ketua Pusat Pengajian (KPP) Asasi Undang - Undang, Pn Nurulhuda Adabiah (0123899650)
-KPP ASASI UNDANG.

p/s: Its a very useful lecture given by an experienced and expert in Malaysian Constitution Professor. Jangan lepaskan peluang berharga ini untuk lebih memahami subjek yang anda bakal pelajari sepanjang semester ini sehingga ke peringkat ijazah undang-undang kelak.

Friday 1 June 2012

Laporan Exco Keusahawanan

Pada bulan April 2012 Exco Keusahawan SMFUU telah mengadakan tempahan baju khusus untuk pelajar undang-undang UiTM Shah Alam. Tempahan dibuat melalui wakil setiap bahagian. Sebahagian hasil keuntungan baju-baju yang terjual akan disalurkan kepada tabung SMFUU yang akan digunakan untuk program-program masa hadapan. Tempahan ditutup pada 25 Mei yang lalu, manakala tempahan pusingan kedua akan dilaksanakan pada bulan Jun bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar asasi undang-undang untuk menempah baju tersebut. Bagi semester hadapan, Exco Keusahawanan SMFUU akan menghasilkan baju muslimah, lencana, baju korporat dan jaket versatile. Insyaallah. 


p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Keusahawanan SMFUU, Muhammad Afiq Bin Baharum. Kepada sesiapa yang telah menempah baju t-shirt tersebut, tunggu dan update dengan tarikh edaran! :)

Laporan Exco Sukan dan Rekreasi


MAJLIS MAKAN TENGAH HARI DAN SESI RAMAH MESRA TIMBALAN DEKAN, DR MOHD RIZAL BERSAMA PEMAIN BOLA SEPAK FAKULTI UNDANG-UNDANG, LAWRIAN LIONS.

            Pada 23 Mei 2012, para pemain bola sepak Fakulti Undang-undang, Lawrian Lions telah diberi peluang  untuk beramah mesra dengan Timbalan Dekan, Dr. Mohd Rizal. Sesi beramah mesra yang berlangsung dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 2 petang telah diadakan di Bilik Mesyuarat 2, Cempaka 1, Fakulti Undang-undang. Sesi ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang.
           
            Sesi yang berlangung selama satu setengah jam ini bertujuan untuk memperkenalkan ahli-ahli terbaru The Lawrian Lions serta memberi peluang kepada Timbalan Dekan HEP Fakulti Undang-Undang, Dr. Mohd Rizal, untuk beramah mesra dengan ahli-ahli baru The Lawrians Lions. Selain itu, sesi ini juga bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara para pemain bagi menguatkan lagi semangat berpasukan mereka.

            Tetamu yang telah diundang untuk menghadiri sesi ini ialah Dr. Mohd Rizal, Timbalan Dekan HEP Fakulti Undang-Undang dan para pemain The Lawrian Lions yang terdiri daripada 23 orang pelajar Fakulti Undang-Undang.

            Sesi dimulakan dengan bacaan ilmu kitab, Al-Fatihah dan seterusnya dengan kata-kata semangat dari Dr. Mohd Rizal. Kemudian, sesi diteruskan dengan sesi pertukaran pendapat antara Dr. Mohd Rizal dengan para pemain. Pada masa itu, para pemain telah menyuarakan pendapat masing-masing bagi meningkatkan mutu pasukan.  Dr. Mohd Rizal juga telah menyumbangkan idea-idea beliau. Hasil daripada sesi ini, boleh dilihat bahawa lebih banyak  penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi sukan The Lawrian Lions. Antara cadangan-cadangan yang telah diutarakan adalah para pemain patut disediakan dengan air mineral di setiap perlawanan,  sebuah ‘fan club’ patut ditubuhkan bagi menyokong para pemain di setiap perlawanan dan juga menyediakan tempat yang sesuai untuk berlatih. 

            Sesi kemudiannya diteruskan dengan mengumumkan barisan pemain-pemain baru. Seramai  7 orang pemain dari keseluruhan 23 orang merupakan pemain baru. Setelah mengenali setiap pemain, majlis penyerahan jersi  kepada para pemain telah dijalankan. Para pemain telah mendapat dua warna jersi iaitu warna biru dan juga warna kuning. Setelah selesai majlis penyerahan jersi, Dr. Mohd Rizal dan juga para pemain telah dijemput untuk menikmati juadah tengah hari.  Sesi berakhir tepat pada pukul 2 petang.

            Secara kesuluruhannya, sesi beramah mesra ini telah berlangsung dengan lancarnya. Tujuan sesi ini diadakan telah tercapai. Dr. Mohd Rizal telah dapat berkenalan dengan para pemain. Para pemain juga, setelah mendapat peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing, telah mendapat  semangat baru untuk mengharumkan nama fakulti melalui sukan bola sepak.  Mereka kini tahu bahawa fakulti sentiasa menyokong mereka untuk mengharumkan nama fakulti. Oleh itu, amatlah diharapkan bahawa prestasi The Lawrian Lions akan meningkat.

            Di samping itu, ia amat diharapkan bahawa sesi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi dan juga diadakan untuk pasukan sukan lain seperti bowling ataupun badminton bagi meningkatkan semangat para pemain. 


p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Sukan dan Rekreasi, Raja Azlina Izzah Binti Raja Shahrom. Jangan lupa, semester hadapan SAF bakal kembali lagi. Sertai beramai-ramai! Majulah sukan utnuk Fakulti Undang-Undang! :)

Laporan Exco Fasiliti dan Tugas-Tugas Khas


Exco Fasiliti dan Tugas-Tugas Khas merupakan salah satu biro di bawah Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (SMFUU) yang telah diamanahkan untuk melaksanakan tugas-tugas untuk menaiktaraf fasiliti di Fakulti Undang-Undang demi kebajikan para pelajar dan para pengajar fakulti tersebut.
           
             Antara masalah utama yang dihadapi oleh para pelajar dan para pengajar Fakulti Undang-Undang adalah masalah kekurangan makanan. Saiz kafe yang agak kecil, tidak mampu untuk menampung bilangan pelajar dan pengajar yang ramai di Fakulti Undang-Undang, terutamanya pada waktu makan tengah hari. Di samping itu, Fakulti Undang-Undang juga terletak agak jauh daripada tempat-tempat yang mudah untuk membeli makanan seperti Dataran Cendekia dan ini menyukarkan para pelajar untuk membeli makanan. Oleh itu, Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMFUU) mengambil langkah inisiatif dengan menjalankan kerjasama bersama pihak Syarikat Nestle untuk meletakkan mesin jualan (“vending machine”) minuman dan makanan di Fakulti Undang-Undang. Exco Fasilti dan Tugas-Tugas Khas telah diamanahkan oleh Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMFUU) untuk melaksanakan tugas tersebut. Selepas permohonan untuk meletakkan mesin jualan (“vending machine”) telah dipersetujui oleh pihak Syarikat Nestle dan Dekan Fakulti Undang-Undang, kami telah bekerjasama bersama Exco Keusahawan membentangkan kertas kerja ke Unit Urus Niaga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Sehingga kini kami masih lagi menanti jawapan daripada pihak Unit Urus Niaga berkenaan permohonan tersebut.
            Selain itu, kami juga turut melakukan pemeriksaan tandas para pelajar Fakulti Undang-Undang berikutan aduan-aduan yang telah diterima mengenai kerosakan tandas dan tahap kebersihannya yang agak rendah. Hasil daripada pemeriksaan yang telah dilakukan kami mendapati terdapat pelbagai kerosakan di setiap tandas terutamanya tandas pelajar di bangunan Cempaka 1.
            Seterusnya, kami juga telah menyiapkan buku Rekod Laporan Penggunaan ‘Common Room’ untuk kemudahan urusan penyerahan ‘Common Room’ kepada persatuan-persatuan yang lain seperti ‘Law Society’ dan ‘Moot Club’. Common Room merupakan sebuah bilik yang boleh digunakan oleh para pelajar dan para pengajar Fakulti Undang-Undang untuk melakukan pelbagai aktiviti mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh persatuan-persatuan tersebut.
           Tugas kami yang terakhir adalah melakukan pemeriksaan penyejuk dan pemanas air (‘water dispencer’) di setiap bangunan Cempaka.Jumlah keseluruhan  penyejuk dan pemanas air (‘water dispencer’) yang tidak boleh digunakan agak besar terutamanya di bangunan Cempaka 2. Di samping itu, kebanyakan penapis penyejuk dan pemanas air (‘water dispencer’) tersebut turut berada dalam keadaan yang tidak bersih dah ini mungkin menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja yang menggunakan air daripada penyejuk dan pemanas air (‘water dispencer’) tersebut. Kami masih dalam usaha membuat aduan fasiliti ke Unit Fasiliti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan menggunakan kaedah surat dan juga e-Aduan melalui Student Portal UiTM. Sekian.


p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Fasiliti dan Tugas-Tugas Khas, Uza Najiera Binti Mohd Anuar. Untuk makluman semua, SMFUU masih lagi dalam rangka kerja untuk memberikan improvisasi terhadap pelbagai fasiliti dan kemudahan di Fakulti Undang-Undang. Selain itu, semua pelajar juga adalah dipelawa untuk menggunakan kemudahan Common Room. Untuk tempahan bilik tersebut, bolehlah berhubung dengan Exco Fasiliti dan Tugas-Tugas Khas ini sendiri dan juga sub-sub exconya.

Laporan Exco Kebajikan


Urusan zakat
Perbincangan dengan Ustazah Zulaikha dari pihak Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam  berkaitan proses dan prosedur permohonan zakat bagi mahasiswa-mahasiswa fakulti yang berkelayakan. Biro kebajikan bercadang untuk membantu mahasiswa memohon dengan menyediakan beberapa kemudahan dan semua perancangan hanya boleh dimulakan pada semester hadapan.

Kafe fakulti
Mengadakan mesyuarat bersama pengusaha kafe yang turut disertai 3 pensyarah yang juga penasihat SMFUU dengan kerjasama dari Biro Penyelidikan (R&D). Beberapa persetujuan utk penambahbaikan telah dipersetujui dan beberapa perubahan dapat dilihat sendiri di kafe tersebut.

Program dalaman SMFUU
Menganjurkan aktiviti  pot luck pada 1 Mei 2012 bagi mengeratkan hubungan antara ahli SMFUU yang turut melibatkan penasihat. Program dianjurkan dengan kerjasama Biro Kerohanian  dan Bendahari.

p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Kebajikan, Muhammad Syadzuwan bin Noor Adzman. Sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi mutu penjagaan kebajikan pelajar Fakulti Undang-Undang adalah amat dialu-alukan.

Laporan Aktiviti Exco Multimedia dan Publisiti


Biro media dan publisiti merupakan antara biro yang terdapat di dalam organisasi Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang. Biro ini bertanggungjawab dalam menguruskan kerja-kerja yang berkaitan dengan poster, banner, video, gambar dan sebagainya. Kadangkala biro ini akan berkerjasama dengan biro komunikasi dan jaringan untuk membantu dalam sesebuah hebahan berita di fakulti.
Sepanjang semester pertama bagi tahun 2012, terdapat beberapa aktiviti yang telah dilaksanakan oleh ahli-ahli biro media dan publisiti. Aktiviti pertama ialah dengan merancang dan melakar pelekat kenderaan bagi pelajar LLB(Hons) yang membawa kenderaan ke fakulti. Rekaan logo pelekat kenderaan ini telah pun dihantar kepada Dekan fakulti dan masih menunggu persetujuan daripada beliau.
Selain itu, pihak kami juga telah menguruskan sesi fotografi untuk setiap kelas dan batch bagi setiap semester. Alhamdulillah sesi ini telah berjalan dengan jayanya hasil kerjasama biro kami dan juga biro komunikasi dan jaringan. Sesi fotografi ini telah berlangsung satu minggu bermula dari 8 Mei 2012 sehingga 14 Mei 2012. Komitmen yang telah diberikan oleh setiap pelajar juga adalah baik.
Bukan itu sahaja, pihak kami telah melakar dan mereka banner selamat maju jaya untuk peperiksaan akhir semester 2012 yang bakal berlangsung lebih kurang satu bulan dari sekarang. Rekaan banner tersebut telah dihantar kepada Dekan fakulti dan memerlukan sedikit perubahan sebelum ia dicetak. Pihak kami masih sedang berusaha untuk memperbaiki rekaan tersebut.
Akhir sekali, pihak kami telah membuat laman twitter baru iaitu “@smfuuofficial” bagi memudahkan para pelajar untuk mengetahui sebarang maklumat terkini berkenaan fakulti. Pihak kami juga masih mengekalkan laman Facebook yang sedia ada iaitu “Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang” untuk semua pelajar menghebahkan sebarang berita atau meninggalkan sebarang pertanyaan.
Sekian laporan aktiviti Biro Multimedia dan Publisiti bagi semester pertama tahun 2012. 


p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Multimedia dan Publisiti, Nor Aliaa Binti Riad. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan semasa dan terikini daripada kami melalui blog ini dan juga melalui facebook serta twitter SMFUU! :)

Carta Organisasi SMFUU 2012