Friday 1 June 2012

Laporan Exco Sukan dan Rekreasi


MAJLIS MAKAN TENGAH HARI DAN SESI RAMAH MESRA TIMBALAN DEKAN, DR MOHD RIZAL BERSAMA PEMAIN BOLA SEPAK FAKULTI UNDANG-UNDANG, LAWRIAN LIONS.

            Pada 23 Mei 2012, para pemain bola sepak Fakulti Undang-undang, Lawrian Lions telah diberi peluang  untuk beramah mesra dengan Timbalan Dekan, Dr. Mohd Rizal. Sesi beramah mesra yang berlangsung dari pukul 12.30 tengah hari sehingga 2 petang telah diadakan di Bilik Mesyuarat 2, Cempaka 1, Fakulti Undang-undang. Sesi ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang.
           
            Sesi yang berlangung selama satu setengah jam ini bertujuan untuk memperkenalkan ahli-ahli terbaru The Lawrian Lions serta memberi peluang kepada Timbalan Dekan HEP Fakulti Undang-Undang, Dr. Mohd Rizal, untuk beramah mesra dengan ahli-ahli baru The Lawrians Lions. Selain itu, sesi ini juga bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara para pemain bagi menguatkan lagi semangat berpasukan mereka.

            Tetamu yang telah diundang untuk menghadiri sesi ini ialah Dr. Mohd Rizal, Timbalan Dekan HEP Fakulti Undang-Undang dan para pemain The Lawrian Lions yang terdiri daripada 23 orang pelajar Fakulti Undang-Undang.

            Sesi dimulakan dengan bacaan ilmu kitab, Al-Fatihah dan seterusnya dengan kata-kata semangat dari Dr. Mohd Rizal. Kemudian, sesi diteruskan dengan sesi pertukaran pendapat antara Dr. Mohd Rizal dengan para pemain. Pada masa itu, para pemain telah menyuarakan pendapat masing-masing bagi meningkatkan mutu pasukan.  Dr. Mohd Rizal juga telah menyumbangkan idea-idea beliau. Hasil daripada sesi ini, boleh dilihat bahawa lebih banyak  penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi sukan The Lawrian Lions. Antara cadangan-cadangan yang telah diutarakan adalah para pemain patut disediakan dengan air mineral di setiap perlawanan,  sebuah ‘fan club’ patut ditubuhkan bagi menyokong para pemain di setiap perlawanan dan juga menyediakan tempat yang sesuai untuk berlatih. 

            Sesi kemudiannya diteruskan dengan mengumumkan barisan pemain-pemain baru. Seramai  7 orang pemain dari keseluruhan 23 orang merupakan pemain baru. Setelah mengenali setiap pemain, majlis penyerahan jersi  kepada para pemain telah dijalankan. Para pemain telah mendapat dua warna jersi iaitu warna biru dan juga warna kuning. Setelah selesai majlis penyerahan jersi, Dr. Mohd Rizal dan juga para pemain telah dijemput untuk menikmati juadah tengah hari.  Sesi berakhir tepat pada pukul 2 petang.

            Secara kesuluruhannya, sesi beramah mesra ini telah berlangsung dengan lancarnya. Tujuan sesi ini diadakan telah tercapai. Dr. Mohd Rizal telah dapat berkenalan dengan para pemain. Para pemain juga, setelah mendapat peluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing, telah mendapat  semangat baru untuk mengharumkan nama fakulti melalui sukan bola sepak.  Mereka kini tahu bahawa fakulti sentiasa menyokong mereka untuk mengharumkan nama fakulti. Oleh itu, amatlah diharapkan bahawa prestasi The Lawrian Lions akan meningkat.

            Di samping itu, ia amat diharapkan bahawa sesi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi dan juga diadakan untuk pasukan sukan lain seperti bowling ataupun badminton bagi meningkatkan semangat para pemain. 


p/s: Laporan ini disediakan oleh Exco Sukan dan Rekreasi, Raja Azlina Izzah Binti Raja Shahrom. Jangan lupa, semester hadapan SAF bakal kembali lagi. Sertai beramai-ramai! Majulah sukan utnuk Fakulti Undang-Undang! :)

No comments:

Post a Comment